Unsur-unsur multimedia
1. Teks
Teks merupakan komponen asas dalam sistem multimedia. Ia mempunyai pelbagai jenis dan bentuk tulisan yang berupaya memberi daya tarikan dalam penyampaian sesuatu informasi. Teks juga boleh digunakan untuk memberikan penekanan bagi sesuatu isi kandungan yang ingin disampaikan (Jamalludin & Zaidatun, 2000).
Dalam konteks pendidikan, teks dalam multimedia digunakan sebagai asas penyaluran sesuatu maklumat untuk capaian pelajar melalui bantuan komputer. Penyaluran teks dalam multimedia dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sempurna. Ini membolehkan sesuatu maklumat atau informasi disampaikan dan disebarkan kepada pelajar dengan mudah dan berkesan. Atas dasar tersebut, teks merupakan salah satu media utama yang diperlukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi tujuan penyampaian sesuatu isi kandungan mata pelajaran melalui multimedia (Vivi Lach 2006). Dengan teknologi ini, teks pelbagai bentuk, format dan susun atur boleh dipindahkan ke mana‐mana sistem komputer bagi memudahkan pelajar memahami isi kandungan yang dicapai dari Internet.
2. Grafik
Grafik digunakan bagi memberi penekanan secara visual terhadap sesuatu persembahan informasi. Ia membantu dalam menerangkan sesuatu informasi secara lebih berkesan serta menjadikan sesuatu persembahan atau penyampaian informasi lebih menarik dan hidup. Disamping itu, grafik juga merupakan penggunaan visual untuk menerangkan konsep yang tidak dapat atau sukar diterangkan oleh teks.
Penggunaan grafik juga dapat mempercepatkan penyampaian sesuatu maklumat dan dapat memberikan penerangan yang cepat, jelas, tepat dan konsisten terhadap pelajar. Grafik seperti lukisan, gambar foto atau carta misalnya amat membantu di dalam menyampaian sesuatu maklumat dengan lebih pantas dan efektif. Visualisasi merupakan antara proses yang penting dalam komunikasi maklumat dan grafik untuk penyampaian maklumat melalui proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan multimedia.
3. Audio
Audio digunakan untuk membantu penyampaian sesuatu maklumat dengan lebih berkesan, seperti penggunaan suara latar atau kesan audio istimewa. Di samping itu, ia membantu meningkatkan daya tarikan terhadap sesuatu persembahan dan daya tumpuan terhadap sesuatu isi persembahan. Teknologi audio dalam multimedia memberi kemudahan kepada pelajar untuk memperolehi maklumat yang lebih berkualiti. Teknologi audio boleh menarik minat pelajar untuk memperolehi ilmu pengetahuan melalui persembahan audio. Menerusi audio, terdapat beberapa faedah dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti menarik perhatian pelajar, mempengaruhi emosi dan pemikiran pelajar, mempertingkatkan kefahaman pelajar terhadap isi kandungan mata pelajaran, memudahkan proses penerangan mengenai sesuatu konsep yang sukar untuk diterangkan melalui teks atau grafik, menjadi panduan yang lebih efektif dalam meningkatkan pemahaman pelajar dan mengekalkan penumpuan pelajar dalam sesebuah mata pelajaran.
4. Video
Video dapat menyediakan kaedah penyaluran informasi yang amat menarik dan hidup. Ia merupakan sumber atau media yang paling dinamik serta efektif dalam menyampaikan sesuatu informasi. Di samping itu, ia berfungsi sebagai satu sumber penyampaian informasi dan sumber rujukan yang berkesan. Disamping itu, video digital menjanjikan satu corak persembahan yang hidup dan menarik bagi meningkatkan pemahaman pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Unsur video dalam multimedia membawa satu perubahan yang besar di dalam kaedah penyaluran maklumat kepada pelajar. Melalui penggunaan video digital, pelajar lebih mudah mengubahsuai, memanipulasi dan menghubungjalinkan ilmu yang diperolehi menjadi lebih dinamik, hidup dan menyeronokkan.
5. Animasi
Animasi berperanan bagi menceriakan lagi persembahan sebuah informasi. Animasi juga membantu dalam menerangkan sesuatu konsep yang kompleks dengan mudah serta mampu menarik perhatian pengguna. Animasi berkomputer digunakan untuk menghasilkan satu keadaan yang meransang dan menyeronokkan. Seseorang pelajar boleh menggunakan animasi berkomputer untuk mendemonstrasikan bahan secara visual berdasarkan kehendak sendiri (Rozinah 2005). Ini dapat mempercepatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran disamping meningkatkan kreativiti dan produktiviti pelajar dalam subjek yang dipelajari.
6. Interaktif
Kebolehan pengguna untuk berinteraksi dengan program atau perisian multimedia merupakan kunci utama kebolehan atau kecanggihan sebuah sistem multimedia. Pengguna berupaya mengawal apa isi kandungan yang hendak dipersembahkan, bila ia dipersembahkan dan bagaimana ia dipersembahkan. Ia juga membenarkan seseorang pengguna meneroka sesuatu maklumat melalui persembahan dengan kehendak dan kelajuan tersendiri.
Dengan menyepadukan elemen-elemen yang terdapat dalam multimedia di atas melalui komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran khususnya pendidikan Islam, maka akan dapat meningkatkan pemahaman serta minat pelajar terhadap mata pelajaran pendidikan Islam. Kerana penggunaan multimedia dan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran khususnya P&P Pendidikan Islam, dapat menciptakan proses pembelajaran yang interaktif, iaitu adanya hubungan timbal balik antara guru dan pelajar dan juga antara sesama pelajar. Proses pembelajaran interaktif yang dijalankan hendaknya dapat mendorong semangat pelajar untuk belajar dan munculnya inspirasi pada pelajar untuk memunculkan ide baru, mengembangkan inisiatif dan kreativiti. Guru perlu berusaha menciptakan proses pembelajaran yang menyeronokan, menjadikan pelajar merasa nyaman, selesa dan asyik untuk mengikutinya. Namun pada asasnya, kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan teknologi bergantung kepada keupayaan dan kebolehan guru untuk mengaplikasikannya sesuai dengan objektif pembelajaran.
Hal ini selari dengan pandangan Zoraini Wati (1992), yang menyatakan bahawa pengajaran pendidikan Islam bukan sahaja melibatkan penyampaian fakta atau pengetahuan semata-mata tetapi lebih banyak menekankan aspek amalan sebagai penghayatan kepada ilmu yang dipelajari. Justeru itu, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan, guru-guru pendidikan Islam seharusnya memanfaatkan penggunaan alat teknologi seperti komputer bagi merangsang minda pelajar untuk belajar (Hasbullah & Yusni, 2003) malah ia sesuai dengan keperluan futuristik yang memerlukan penguasaan dalam teknologi maklumat (Mohd Jasmy & Mohd Yusro, 2003).
Comments
Post a Comment